Selangkah Ke Menara Gading

Pengenalan


Wawasan 2020 yang diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed kini menampakkan suatu kerisauan. Impian Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020 bakal terkubur andainya masalah kekurangan tenaga mahir tempatan tidak diatasi dengan kadar yang segera. Tanpa perlu menoleh jauh, lihat saja sektor pembinaan negara yang majoritinya dimonopoli oleh buruh asing. Selain dari kos buruh asing yang rendah, faktor kemahiran juga dilihat sebagai sebab kenapa tenaga kudrat buruh asing berterusan ditagih. Mahu atau pun tidak, negara perlu melahirkan ramai lagi tenaga mahir tempatan bagi menampung perkembangan ekonomi negara yang kian pesat.
Tenaga mahir sahaja belum mencukupi. Amalan korupsi yang berleluasa bakal menjatuhkan seluruh sistem ekonomi negara. Jenayah kolar putih dikalangan mereka yang berkedudukan akan menyebabkan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat lantas kekayaan negara tidak dapat dikongsi dengan adil. Justera konsep membangunkan Modal Insan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan suatu konsep yang tepat pada masanya. Modal Insan bukan sahaja menitikberatkan aspek pekerja berkemahiran tinggi, malah turut menerapkan aspek pekerja berintegriti. Andai konsep ini dapat diterapkan sepenuhnya kepada seluruh pekerja di negara ini, nescaya kita bakal menyaksikan Malaysia sebagai sebuah negara model yang membangun secara seimbang.
Menyedari suasana tersebut, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan, PEPIAS tampil mengambil inisiatif merangka sebuah program yang menggabungkan beberapa aspek bagi membentuk bakal pekerja mahir tempatan yang berintegriti tinggi. Program yang dinamakan sebagai Perkampungan Menara Gading (PMG) ini, mensasarkan pelajar lepasan SPM yang juga generasi pelapis negara. PMG bakal memberi pendedahan awal kepada peserta tentang kehidupan di alam kampus yang serba mencabar. Pelbagai ruang dan peluang bakal didedahkan bagi membantu peserta melanjutkan pelajaran samada dari segi bidang pengajian mahupun pembiyaan pelajaran. Sebagai nilai tambah bagi program ini, ia turut menerapkan budaya mencintai ilmu dan menyemai semangat kesukarelaan.
PMG diharap mampu menampakkan peluang dan meningkatkan motivasi para peserta untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Usaha Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan ini diharap dapat menyumbang kepada pembangunan pekerja yang bukan sekadar berkemahiran tinggi, malah berintegriti, seterusnya melahirkan generasi kepimpinan dan kesukarelaan belia negara yang dapat menyumbang secara aktif terhadap pelaksanaan misi nasional dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

TARIKH
24- 27 Disember 2009 (4 Hari 3 Malam)
Khamis – Ahad

TEMPAT
Universiti Industri Selangor ( UNISEL ), Bestari Jaya







0 comments: